BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, October 2, 2009

Dilema Bajau Laut


ANAK masyarakat Pala'u bermain di atas bot dan tidak gentar terjatuh ke laut kerana kehidupan sepanjang masa di dalam bot adalah nadi mereka.

Tiada siapa tahu jumlah sebenar masyarakat Pala'u 'tanpa negara' yang dipercayai berasal dari ratusan pulau di Filipina

LEMBUT ombak Laut Sulawesi dan Laut Sulu di pantai timur Sabah adalah alunan lagu yang mendamaikan nurani mereka. Dada langit yang membiru ketika siang dan gelap pekat pada malam adalah bumbung yang tidak pernah alpa daripada menjadi teman setia. Laut yang terbentang saujana mata memandang sudah sebati menjadi nadi kehidupan mereka.

Sejak beratus tahun, masyarakat Pala'u atau Bajau Laut di pantai timur Sabah tidak pernah lekang daripada mengabadikan hidup kepada laut. Bagi masyarakat yang kebanyakannya berkulit gelap, berambut kerinting dan berkomunikasi dalam bahasa Bajau Laut itu, laut adalah teman sejati yang tidak pernah mendustai mereka.

Di Laut Sulawesi pantai timur Sabah, mereka bertaburan dari Tawau hingga Sandakan. Di Laut Sulu dari Sandakan ke Kudat di utara Sabah pula, mereka ada di merata tempat. Namun, tiada siapa yang mampu mencatatkan jumlah sebenar masyarakat Pala'u kerana mereka yang dikatakan berasal daripada ratusan pulau di selatan Filipina tidak pernah didaftarkan sebagai warga negara Malaysia.

Hidup dalam masyarakat 'tidak bernegara' membolehkan mereka bebas bak ikan di laut menjelajah dari satu kawasan ke kawasan lain. Dengan hidup dalam bot berbumbung kanvas atau papan, keluarga Pala'u hidup secara nomad. Tiada kawasan tertentu dijadikan tempat tinggal kekal.

Hanya bot yang dijadikan tempat untuk dihuni seisi keluarga. Dengan bot jugalah mereka mencari rezeki laut. Setiap kali tong dipenuhi ikan, mereka akan mencari jeti pendaratan ikan untuk menjual hasil keringat yang dihimpun seminggu.

KOLONGAN dan suami, Abdul Karang (di belakang bot) serta anak mereka tetap gemar hidup sepanjang masa di dalam perahu kerana ia adalah kehidupan asal mereka.

Dalam ruang sempit untuk tidur, seisi keluarga Pala'u mampu meneruskan kehidupan dalam bot. Meskipun tidak bebas mengatur langkah seperti di daratan kerana bot dipenuhi pukat dan tong menyimpan air batu dan ikan, mereka tidak pernah merungut, apatah lagi kesal dengan cara hidup sedemikian.

Setiap kali si suami membuang pukat atau melabuhkan mata pancing, si isteri akan membantu menarik pukat dan tangsi. Si anak yang sudah dewasa, tidak berupaya mengubah cara hidup yang diwarisi daripada emak dan ayah. Si anak yang tidak pernah bersekolah, tidak mampu mendapatkan pekerjaan di daratan. Bukan tidak mahu mencuba mendapatkan pekerjaan di daratan, sebaliknya kehidupan yang sudah sebati di laut membuatkan mereka tidak mampu hidup di daratan.

Namun, peredaran masa menyaksikan kian ramai anggota masyarakat Pala'u terpaksa meninggalkan kehidupan sepanjang masa di dalam bot atau perahu. Desakan hidup mendorong mereka membina penempatan di pinggir pantai. Ketiadaan sumber kewangan yang kukuh menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan sebahagian daripada kehidupan yang diwarisi daripada nenek moyang.

Di sekitar Kunak, daerah kecil dalam Parlimen Silam, kira-kira 80 kilometer dari Lahad Datu, ada kelompok masyarakat Pala'u yang sudah membina penempatan di pinggir pantai. Dengan mengutip kayu dan papan yang menjadi bahan buangan kilang papan, mereka membina rumah atas air di pinggir pantai Kampung Kunak 3 dan Kampung Jeti.

SIMAH (dua dari kiri) dan kakaknya, Maimunah, berbual dengan Amir Salleh (dua dari kanan) dan seorang anggota masyarakat Pala'u.
Kira-kira lapan tahun lalu, pembinaan pondok kayu dimulakan oleh Isnaji Alaji. Lelaki berusia 63 tahun itu terpaksa membina pondok kecil untuk menumpang teduh daripada terik sinar mentari dan kedinginan embun selepas bot yang dihuni bersama isteri dan tujuh anaknya, reput dimamah usia.

Dengan ihsan Ketua Kampung Kunak 3, Isnaji membina pondok kecil dengan tiangnya tertanam di pasir gigi pantai. Di situlah Isnaji dan tujuh anaknya, tiga perempuan dan empat lelaki berusia antara lima hingga 20 tahun menumpang ihsan penduduk kampung.

Lama-kelamaan, secara disedari dan tidak, kini sudah ada 40 rumah masyarakat Pala'u yang tidak mampu meneruskan kehidupan sepanjang masa dalam bot, membina pondok dan rumah atas air di pinggir pantai.

Berpandukan bantuan seorang penduduk Kampung Kunak 3 daripada etnik Bajau yang menjadi jurubahasa, Isnaji melakarkan perjalanan hidup dia dan 441 anggota masyarakat Pala'u di kawasan itu.

"Kami tiada wang beli bot baru. Dapat duit daripada jual ikan, kami beli barang makan. Kami tidak gemar makan nasi. Kami beli puttu (ubi kayu yang ditumbuk). Saya faham, orang kampung tidak senang dengan kami. Kalau boleh, mereka mahu kami pindah.

"Tapi kami tak ada tempat lain untuk dituju. Tak ada kad pengenalan. Siapa mahu ambil kami bekerja? Lagi pun, kami memang tak tahu buat kerja di daratan. Yang kami tahu hanyalah tangkap ikan.

"Kalau ada wang, saya mahu buat bot dan tinggal dalam bot semula tetapi apakan daya," katanya sambil merenung deretan rumah atas air dari jeti Kampung Kunak 3.

Isnaji menjelaskan, bukan semua masyarakat Pala'u di kampung itu sudah memeluk Islam. Ada antara mereka masih pagan atau tiada agama dan ada juga yang memeluk Kristian. Namun, biar apa pun agama mereka, yang pasti mereka tidak mampu berpisah dengan laut.

Perjalanan hidup yang sama, turut dikongsi Imam di Kampung Jeti, Amir Salleh Uturani. Lelaki berusia 64 tahun itu menjelaskan, dia dan 60 keluarga yang lain berhijrah dari Semporna ke kampung itu selepas peredaran masa menyaksikan mereka tidak mampu menghimpunkan wang untuk membina bot baru.

"Kami terpaksa mengutip kayu yang dibuang daripada kilang papan. Kami buat pondok sejak 2002. Mulanya, hanya satu dua pondok. Sekarang sudah ada 60 pondok. Satu pondok kadang-kadang ada dua tiga keluarga.

"Walaupun kami tidak lagi hidup dalam bot sepanjang masa, kami tidak boleh hidup di daratan sepanjang masa. Pernah saya tidur di rumah kawan di daratan tetapi tidak lena. Macam-macam bunyi saya dengar. Saya takut. Tidur di pondok atas air, saya lena.

"Pernah ada anak orang di sini dimasukkan ke hospital. Doktor beritahu bapanya, anaknya sudah sihat tetapi doktor hairan budak itu masih lemah. Bapanya balik ambil air laut, lalu disapukan pada badan anak dia, terus segar," katanya sambil tersenyum.

Anak-anak di kampung itu tidak pernah mengenal huruf. Bagi meneruskan hidup, mereka terpaksa mengambil upah mendaratkan ikan di jeti Kampung Pangkalan di pekan Kunak. Setiap jam 5 pagi, sudah ramai anak-anak masyarakat Pala'u mengangkat bakul ikan dari dalam bot ke lori ikan.

Namun, mereka bersyukur kerana sudah memeluk Islam tidak lama selepas membina penempatan atas air. Usaha pegawai Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) membawa mereka mengenal agama Allah SWT membolehkan mereka mencintai Islam.

Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, pegangan agama mereka kian tidak menentu berikutan tiada pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) yang sanggup berkorban membimbing mereka.

Begitu pun, mereka kini terpaksa bergantung harapan kepada seorang ahli Pertubuhan Ugama Islam Seluruh Sabah (Usia) yang juga usahawan wanita, Simah Zainal Gunong untuk membimbing mereka memahami Islam.

Simah dan kakaknya, Maimunah yang tidak pernah jemu membantu masyarakat Pala'u di Kampung Jeti, amat memerlukan JHEINS segera menghulurkan bantuan bagi memastikan masyarakat yang baru mengenal Islam itu tidak kembali kepada pegangan asal mereka, hidup tanpa agama.

Enggan tinggalkan laut

BIARPUN semakin ramai anggota masyarakat Pala'u meninggalkan kehidupan sepenuh masa dalam bot, masih ada antara mereka yang tidak sanggup meninggalkan kehidupan yang sudah sebati dengan darah daging.

Dengan menjadikan Laut Sulawesi yang luas terbentang dari Tawau hingga Sandakan dan Laut Sulu yang terhampar dari Sandakan ke Kudat sebagai teman paling setia, mereka tetap meneruskan tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang sejak sekian lama.

Bagi Abdul Karang Jilbaya, 36, bot kecil yang dihuni bersama isteri, Kolongan Jalpari, 34, adalah nadi kehidupan. Di dalam bot serba kekurangan itulah, mereka membesarkan lima anak berusia antara satu hingga 18 tahun dengan menjadikan ikan yang ditangkap menggunakan pukat atau mata kail sebagai penyambung rezeki.

Setiap kali menghampiri jeti pendaratan ikan di Semporna, Tawau atau Kunak, Abdul Karang dan isteri tidak melepaskan peluang untuk membeli puttu (ubi kayu yang ditumbuk) sebagai makanan ruji menggantikan nasi.

"Jarang kami makan nasi. Kami lebih suka makan puttu. Kami jarang makan ikan besar. Kami hormat ikan. Kami lebih gemar makan ikan kecil.

"Kalau ribut, kami berlindung di pulau-pulau. Lepas jual ikan, kami beli ais (air batu) untuk simpan ikan. Saya selalu datang ke sini (jeti pendaratan ikan di Kampung Pangkalan, pekan Kunak) sebab harga ikan lebih tinggi daripada di Semporna," katanya dengan menggunakan bahasa Bajau Laut.

Kenikmatan hidup dalam bot turut dikongsi Tanarik Awi, 48, bersama isterinya, Bunga Jatol Maihaili, 45, dan anak perempuan mereka, Munaizah, 19, serta suami Munaizah, Basah Sana, 20.

Meskipun terpaksa berkongsi hidup dalam bot, Tanarik dan seisi keluarganya tidak pernah bercadang untuk membina pondok atau rumah di atas air seperti yang dilakukan masyarakat Pala'u di Kampung Kunak 3 dan Kampung Jeti.

"Biarlah dia orang buat rumah atas air. Kami tidak mahu. Kami suka hidup dalam bot. Hari ini kami ada di sini (Kunak), esok atau lusa, kami ada di Semporna. Minggu depan, kami ada di Tawau,” katanya.

0 comments: